Friday, August 31, 2012

Adab Merisik

Seperti lagaknya penyiasat, bakal menantu harus juga dirisik. Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Kadang-kadang secara berjenaka kebolehan seseorang memasak juga ditanya. Jika seorang perempuan itu diketahui sudah tidak dara lagi, nilai hantaran belanja kahwinnya akan terjejas. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Sebelum datang biasanya jumlah rombongan pihak lelaki akan ditetapkan dengan pihak wanita.

Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik serta mampu menyara wanita terbabit.

Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan dan juga perkahwinan. Ada kalanya hantaran untuk perkahwinan juga ditetapkan. Ada sesetengahnya juga membawa beberapa dulang hantaran. Merisik ini biasanya dilakukan oleh mereka yang berasal dari utara Semenanjung. Sesetengah pihak menganggap upacara ini tidak perlu diadakan kerana kadangkalanya pasangan telah keluar bertahun-tahun dan amat dikenali oleh ibubapa masing-masing. Oleh sebab itu adat merisik jarang dilakukan lagi, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.


Cincin belah rotan yang selalu diberikan kepada si gadis semasa adat merisik sebagai 'tanda' si gadis telah berpunya dan bakal menjadi tunangan orang.
(Sumber : Mr. Goggle)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.